Ahad, 15 Mei 2016

REFLEKSI DIRI AIN

Program Jalinan Masyarakat yang telah kami jalankan pada 7 dan 8 Mei 2016 di Sk Chenderong Kelubi telah memberi banyak makna dan pengalaman dalam diri kami masing-masing. Antara keistimewaan sekolah ini adalah kesemua murid yang bersekolah di sini merupakan orang asli.
Dalam usaha untuk menjayakan program Jalinan Masyarakat ini, saya telah ditaklifkan untuk menjadi ketua Biro Program dan Protokol. Sejujurnya, ianya merupakan tugas yang sukar untuk digalas. Namun, hasil daripada kerjasama daripada ahli-ahli biro program yang lain telah menjadikan tugasan ini berjaya untuk disediakan dan dilaksanakan dengan jayanya. Secara umumnya, tugas kami adalah menyediakan tentatif program dan pengisian bagi setiap slot. Walaupun terdapat sedikit kesulitan dalam merancang pengisian program atas sebab pertukaran lokasi program, kami berjaya menyiapkan pengisian yang bersesuaian dengan lokasi baru dalam masa yang singkat. Kerjasama daripada semua ahli telah memudahkan urusan dan pengisian bagi setiap slot berjaya disediakan.
Semasa program berlangsung, kesemua aktiviti yang dirancang berjalan dengan lancar. Namun, terdapat banyak lebihan waktu kosong dimana segala aktiviti dirancang berakhir lebih awal daripada waktu yang telah dirancang di dalam tentatif. Perkara ini berlaku kerana ketepatan masa para pelajar yang sungguh luar biasa dan mengagumkan. Sikap mereka yang menjaga dan menghormati masa mestilah kita contohi dan amalkan dalam kehidupan seharian. Semua pihak AJK telah menyumbang idea untuk mengisi masa lapang sebagai pengisian untuk pelajar. Semangat kerjasama dan tidak berkira terhadap tugasan daripada AJK sangat saya kagumi. Walaupun perkara tersebut bukan skop tugasan mereka, namun mereka turut bersama-sama membantu kami untuk menjayakan setiap slot dan aktiviti yang disediakan.
Pengalaman mengurus aktiviti-aktiviti pengisian, bergaul dengan murid-murid orang asli dan bergaul dengan guru-guru dan pekerja sekolah merupakan pengalaman yang sangat berharga bagi saya yang telah saya perolehi sewaktu program ini berlangsung. Program ini sedikit sebanyak telah mengasah ‘soft skills’ dalam diri kami dan memberi peluang untuk kami mengasah bakat kepimpinan yang ada dalam diri masing-masing. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam menjayakan program Jalinan Masyarakat ini. Saya mohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan dalam menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan