Ahad, 15 Mei 2016

REFLEKSI DIRI FADZILAH


FADZILAH  BINTI  AHMAD
IEB150011

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat ilahi dengan izin dan limpah kurnia-Nya satu program Jalinan Masyarakat telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya seperti  yang dirancang. Kursus Jalinan Masyarakat merupakan salah satu subjek  universiti yang wajib diambil oleh semua mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya.
Jalinan Masyarakat adalah satu program yang menggalakkan para pelajar untuk berbakti kepada masyarakat dengan melakukan program-program yang dapat memberi manfaat kepada orang-orang disekeliling mereka. Saya berasa amat beruntung kerana diberi kesempatan untuk melakukan Jalinan Masyarakat di Sekolah Kebangsaan Chenderong Kelubi, Tanjung Tualang, Perak. Sekolah ini merupakan salah satu sekolah untuk murid-murid orang asli di Perak. Sekolah ini terletak di dalam sebuah kampung masyarakat orang asli yang agak pedalaman. Program ini disertai oleh murid-murid tahap 2 iaitu murid-murid daripada darjah 4 sehingga 6. Oleh kerana mereka ini paling hampir untuk menduduki peperiksaan yang besar iaitu UPSR, kami mengambil kesempatan yang singkat ini untuk memberikan sedikit suntikan semangat yang dapat membuka minda murid-murid ini supaya terus berusaha dalam menuntut ilmu dan mengetahui kepentingannya. Kami telah dikhabarkan oleh Guru Besar sekolah tersebut bahawa kebanyakkan para ibu bapa masih berfikiran tidak terbuka untuk membenarkan anak-anak mereka keluar dari kawasan perkampungan tersebut untuk menuntut ilmu.
Selain itu, melalui program Jalinan Masyarakat ini, saya dapat mengenali dan merasai kehidupan  masyarakat orang asli dengan lebih mendalam. Mereka ini sangat baik dan peramah tetapi kita mesti pandai mencari jalan untuk mendekati mereka. Perkara yang saya sangat mengambil pengajaran ialah mereka sangat tepati waktu. Sebagai contoh,program bermula pada pukul 2 petang, pada pukul 1.30 tengah hari semua pelajar sudah mula berkumpul. Di samping itu, oleh kerana murid-murid ini datang daripada masyarakat orang asli, pendekatan yang kami perlu lakukan untuk menarik perhatian mereka sangat unik. Mereka lebih berminat kepada konsep 3M iaitu makan, main, dan muzik. Program Jalinan Masyarakat ini juga telah memperkenalkan kepada pelbagai jenis aktiviti yang menarik seperti yang dijalankan di dalam explorace. Kesemua aktiviti yang dilakukan sangat memberi kesan yang positif jika diambil pengajaran dengan baik. Selain itu, melalui permainan-permainan ini kita dapat merasai kepentingan nilai kerjasama antara ahli kumpulan. Aktiviti-aktiviti ini juga menyedarkan saya bahawasanya terdapat pelbagai cara untuk kita berhibur selain daripada menonton Youtube atau Facebook.
Seterusnya, pengalaman menjadi ahli unit tajaan dalam Jalinan Masyarakat sangat memberi kesan yang baik dalam diri saya. Di sini saya belajar dengan lebih mendalam prosedur – prosedur yang perlu dilakukan untuk memohon tajaan dan sumbangan dari pihak luar. Kami dari unit tajaan turut dibantu oleh rakan- rakan seperjuangan dari unit lain dalam memohon tajaan. Kami dari unit tajaan juga sangat bersyukur kerana mendapat tajaan yang sangat besar dari Persatuan Rabitah Antarabangsa. Selain itu, pengalaman yang sangat berharga bila mengadakan program dengan masyarakat orang asli ialah dapat belajar serba sedikit bahasa semai yang saya rasakan sangat unik. Antara perkataan-perkataan yang saya sempat belajar ialah eng(saya), hek(kamu), hik(kami), cak(makan), cakna(makan nasi), ma heber(buat apa), madebe(kenapa), ma eng(nama saya), nanek(satu), nar(dua), nit(tiga), gerlo(tipu).

Kesimpulannya, Jalinan Masyarakat di Sekolah Kebangsaan Chenderong Kelubi adalah satu program yang telah dijalankan dengan berjaya. Jalinan Masyarakat ini telah memanfaatkan peserta dan juga murid-murid sekolah sekaligus. Program-program seperti ini harus diteruskan supaya para graduan pada masa hadapan tidak menjadi individu yang hanya mementingkan diri sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan