Ahad, 15 Mei 2016

REFLEKSI DIRI ZUBAIDAH


SITI ZUBAIDAH BINTI MOH ZABIDIN [ IEB 150079]
Jalinan Masyarakat adalah satu program yang menggalakkan para pelajar untuk membina serta mewujudkan tali persaudaraan dan ukhwah yang baru di samping berbakti kepada masyarakat dengan melakukan program-program yang dapat memberikan manfaat kepada orang-orang di sekeliling mereka. Saya berasa beruntung kerana diberikan kesempatan ini untuk bersama-sama rakan-rakan yang lain dalam melakukan program Jalinan Masyarakat di Sekolah Kebangsaan Chenderong Kelubi, Tanjung Tualang, Perak. Sebagai pelajar yang mendapat peluang untuk mengikuti program Jalinan Masyarakat ini, kesempatan ini telah memberi peluang untuk saya merasai pengalaman bersama masyarakat Asli.
Terdapat pelbagai pengalaman yang saya rasai sebelum, semasa dan selepas menjalani program Jalinan Masyarakat ini. Antaranya ialah, pada permulaannya kami telah membuat pelantikan organisasi bagi program ini. Setelah itu, kami telah berbincang untuk memilih tema yang bersesuaian dengan program yang akan dijalankan. Setelah mendapat kata putus, maka program ini kami namakan sebagai ‘Pengalaman Untuk Masyarakat Asli’. Kami diagihkan mengikut biro-biro tertentu supaya perjalanan program ini berjalan dengan lancar. Saya berasa takut dan berdebar serta gundah-gulana sebelum bertolak ke tempat program tersebut kerana memikirkan adakah masyarakat Asli di sana akan menerima kunjungan kami serta melayan kami. Tetapi sangkaan saya itu meleset kerana perkara yang sebaliknya berlaku.
 Setibanya kami di sana, kedatangan kami diraikan dengan alunan pasukan pancaragam sekolah. Selain itu, kami juga berasa berbesar hati kerana dikalungkan setiap pelajar berupa mahkota yang merupakan alat perhiasan masyarakat Asli. Setelah itu, kami diberikan taklimat serta beberapa tunjuk ajar mengenai bagaimana untuk mendekati dan menarik perhatian pelajar Asli tersebut dengan menggunakan teknik 3 M, iaitu Makan, Main, serta Musik. Selain itu, saya cukup berpuas hati dengan segala kelengkapan yang disediakan oleh pihak sekolah. Tambahan pula, semasa Latihan Dalam Kumpulan dijalankan, segala aktiviti dapat dijalankan dengan lancar dengan kerjasama semua fasilitator serta murid-murid. Saya juga berasa cukup gembira apabila murid-murid sama-sama menikmati aktiviti-aktiviti yang dijalnakan seperti “Ice Breaking, Explorace, Malam Kebudayaan serta Motivasi Kerjaya”.

Kesimpulannya, selepas menjalani program ini, saya dapat merasakan ukhuwah yang dibina sangat utuh dan berasa sedih apabila mahu berpisah. Setelah berakhirnya program ini, apa yang dapat saya simpulkan bahawa setiap program yang dijalankan mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri dan apa yang perlu diperbaiki haruslah diambil pengajaran. Sebagai contoh, berkaitan dengan masalah masa. Saya dapati kita perlu memperbaiki masalah berkaitan masa dengan sentiasa mempercepatkan langkah dan jangan melakukan sesuatu perkara sambil lewa. Akhir sekali, saya merasa gembira setelah mengikuti program Jalinan Masyarakat ini. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan