NORLINAH BINTI SIAMIL (IEB150040)
Jalinan Masyarakat
merupakan satu subjek yang diwajibkan kepada semua pelajar di universiti. Dalam
subjek ini, para pelajar dikehendaki untuk menjalankan atau melaksanakan satu
program atau aktiviti kepada masyarakat. Subjek ini bertujuan untuk melatih dan
memupuk sikap kepimpinan dalam diri setiap pelajar di samping mengasah bakat
terpendam dalam diri pelajar.
Kumpulan bagi subjek
Jalinan Masyarakat saya telah bergabung dengan kumpulan 4 dan kami telah
bersetuju untuk mengadakan program kami di Sekolah Kebangsaan Chenderong Kelubi
yang mana sekolah ini merupakan sekolah bagi anak-anak orang asli.Sekolah ini
terletak di negeri Perak.Pada awal perancangan kami adalah, kami ingin
mengadakan program bersama masyarakat orang asli tetapi oleh kerana terdapat
sedikit masalah yang dihadapi oleh pihak kami untuk melaksanakan program
tersebut maka kami telah menukar perancangan untuk melaksanakan program bersama
anak-anak orang asli sahaja.Pengajaran yang boleh saya dapati daripada
peristiwa ini adalah kita hendaklah mempunyai plan B atau back up plan dalam
melaksanakan sesuatu aktiviti kerana kita tidak tahu sama ada perancangan yang
dirancangkan dapat dilaksanakan atau tidak.Di samping itu, kita hendaklah
sentiasa bersabar dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka dan sentiasa
bersikap matang dalam mengendalikan dan menyelesaikan perkara tersebut.
Ketika
pembentangan kertas kerja projek dibentangkan, saya amat gembira dan
bersemangat untuk menjalankan projek kami kerana kami akan mengadakan program
bersama anak-anak sekolah orang asli.Saya berasa gembira kerana saya ingin
merasai suasana hidup dan berjumpa dengan masyarakat orang asli. Namun saya
dapati mereka ini bukanlah masyarakat orang asli yang ketinggalan daripada
peredaran zaman teknologi ini kerana mereka ini sudah terdedah kepada kemajuan
teknologi.Oleh itu, adalah amat sukar bagi saya untuk merasai suasana kehidupan
mereka.Namun demikian,terdapat beberapa perkara yang saya pelajari daripada
masyarakat orang asli ini sepanjang menjalankan program bersama
mereka.Antaranya ialah mereka amat menghargai dan menghormati tetamu yang
datang ke tempat mereka.Hal ini terbukti di mana ketika kami tiba di sana kami
disambut dengan persembahan dan iringan muzik yang mana sebelum ini saya hanya
melihat acara ini dilakukan oleh orang kebanyakan untuk menyambut kedatangan
orang-orang kenamaan sahaja.Kami juga dimaklumkan bahawa mereka membuat
persediaan untuk menyambut kedatangan kami ke sana selama dua hari.Perkara
kedua yang saya pelajari daripada mereka adalah berkenaan dengan ketepatan
masa.Anak-anak orang asli ini sangat mementingkan ketepatan masa mereka.Jika
kami meminta mereka berkumpul pada waktu yang ditetapkan, mereka akan datang
dan berkumpul sebelum waktu tersebut.Oleh itu, pada pendapat saya sikap orang
asli ini perlu dicontohi oleh semua individu.
Seterusnya, dalam organisasi projek kami ini saya telah diamanahkan untuk
mengalas tanggungjawab sebagai biro kebajikan dan cenderamata.Saya menerima
tugasan ini dengan hati yang terbuka kerana saya ingin mencuba sesuatu yang
baharu.Hal ini kerana,saya tidak pernah berpeluang untuk menjadi biro kebajikan
sebelum ini.Oleh itu, tugasan ini memberikan pengalaman yang baru dan berguna
kepada saya.Jika disebutkan tentang kebajikan maka perkara yang harus
dititikberatkan ialah mengenai kebajikan dan keselamatan.Oleh hal yang
demikian, kami telah menyediakan first aid dan ubat-ubatan lain sebagai langkah
berjaga-jaga jika berlaku kecederaan atau terdapat pelajar yang sakit.Bagi
cenderamata pula, kami telah diberi peruntukan kewangan sebanyak rm500, tetapi
kami hanya membelanjakan separuh daripada peruntukan tersebut.Setelah kami
berbincang sesama ahli biro kebajikan dan cenderamata,kami bersetuju untuk
membungkus dan membeli hadiah-hadiah tersebut sendiri daripada melakukan
tempahan bagi menjimatkan perbelanjaan dan kekangan masa.Antara cabaran yang
dihadapi oleh kami dalam menyediakan cenderamata dan hadiah ini ialah kami
perlu membuat perbandingan harga barang dan mencari kenderaan untuk membeli
barang-barang yang diperlukan.Kami juga menghadapi kesukaran apabila barang
yang kami inginkan tidak didapati di sesuatu tempat tersebut dan kami terpaksa
untuk mencari di tempat lain.Perkara ini menyebabkan berlakunya pembaziran masa
dan tenaga.Oleh itu,tugas saya sebagai biro kebajikan dan cenderamata dalam
projek kami ini mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam merancang sesuatu
perkara.Sebelum ini saya menganggap bahawa bidang tugas biro kebajikan dan
cenderamata ini sebagai mudah, namun setelah saya sendiri memegang amanah ini
saya dapati ia bukan satu tugas yang mudah jika kita bersungguh dalam
menjalankannya.Di samping itu,persepsi saya terhadap tugas biro ini juga mula
berubah.Jika dahulu saya beranggapan bahawa kebajikan yang harus dijaga ialah
dari segi keselamatan sahaja.Tetapi melalui program kami ini,saya dapati bahawa
kebajikan yang perlu dijaga itu mencakupi tugas yang amat besar seperti kami
perlu menjaga keselesaan dan kesejahteraan peserta program.Selain menjadi biro
kebajikan dan cenderamata ini, saya juga ditugaskan untuk membantu biro-biro
lain dalam menjayakan program kami.
Kesimpulannya,program Jalinan Masyarakat Pengalaman Untuk Murid Asli ini
memberikan pengalaman dan pengajaran yang amat berguna kepada
saya.Alhamdulillah,, berkat kerjasama daripada rakan-rakan seperjuangan,
program kami ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.Subjek ini amat berguna
kepada semua pelajar untuk mereka menimba ilmu dan menambah pengalaman mereka
demi menghadapi hari-hari mendatang.Hal ini demikian kerana, segala benda
baharu yang kita pelajari daripada program seperti ini tidak akan kita dapati
daripada pembelajaran kita di dalam kelas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan