Ahad, 15 Mei 2016

REFLEKSI DIRI SITI SYUHADA


Pada pendapat saya, program Jalinan Masyarakat ini merupakan satu program yang boleh menjadi platform kepada setiap individu yang bergelar mahasiswa kerana ia mampu melatih diri mahasiswa tersebut supaya menjadi seorang pemimpin yang berjaya. Saya mengatakan sedemikian kerana badan organisasi dalam program ini dikelolai oleh para mahasiswa sendiri. Hal ini sekali gus mampu menerapkan nilai-nilai kepimpinan di dalam diri setiap individu mahasiswa yang mana mereka bertanggungjawab dalam mengurus serta memastikan tugas-tugas mengikut unit masing-masing dilaksanakan dengan sempurna supaya program Jalinan Masyarakat ini berjalan dengan lancar.

          Kami sebagai peserta merangkap peganjur untuk program Jalinan Masyarakat yang bertemakan ‘Pengalaman Untuk Masyarakat Asli’ (PUMA) ini telah melakukan persiapan serta persediaan yang rapi sebelum program ini berlangsung antaranya seperti penyediaan daripada unit pengisian, unit kebajikan dan cenderahati, unit pengangkutan dan beberapa unit yang lain. Program Jalinan Masyarakat ini merupakan program pertama yang pernah saya sertai yang mana saya sendiri bersama dengan masyarakat asli khususnya murid-murid sekolah rendah kerana program ini kami tumpukan hanya kepada murid-murid asli di Sekolah Kebangsaan Chenderong Kelubi. Program PUMA ini juga berlangsung selama dua hari satu malam bermula daripada tarikh 7 Mei sehingga 8 Mei 2016.

          Pengalaman yang saya peroleh daripada program ini amatlah berharga kerana melalui program inilah saya dapat melihat serba sedikit bagaimana budaya yang ditonjolkan oleh masyarakat asli khususnya daripada murid-murid SKCK. Saya juga dapat mempelajari beberapa perkataan baru dalam bahasa mereka yang digelar sebagai Bahasa Senai antaranya seperti ‘kus’ (bangun/berdiri) dan ‘bor’ (baik/sihat). Di samping itu, melaksanakan aktiviti permainan bersama murid-murid asli SKCK juga di antara pengalaman yang menarik bagi saya. Ini kerana, perwatakan mereka yang cerdas dan aktif memudahkan kami sebagai ajk pelaksana untuk memberi arahan kepada mereka. Bagi saya, murid-murid asli SKCK ini mempunyai satu sikap yang baik iaitu mereka sentiasa menepati masa dan memberikan kerjasama yang baik kepada kami semasa program ini berlangsung.


          Sebagai kesimpulan, saya berpendapat bahawa program Jalinan Masyarakat ‘Pengalaman Untuk Masyarakat Asli’ (PUMA) di Sekolah Kebangsaan Chenderong Kelubi (SKCK) ini secara keseluruhannya berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai misi kami iaitu memastikan segala aktiviti yang kami rancang berjalan dengan jayanya. Seperkara lagi, sekurang-kurangnya kami dapat memberikan pengalaman yang menarik serta memori yang indah kepada adik-adik Sekolah Kebangsaan Chenderong Kelubi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan